Segmen baru, sebab baru-baru mula hendak berjinak-jinak. Kalau tidak bermula sekarang, bila lagi mahu bermula. Betul?
Dinamakan “Sesekali Berfikir”, sebab rasanya … sukar untuk kita mengajak manusia berfikir akhir-akhir ini. Kerana dalam kebanyakan hal, manusia lebih suka dahulu berekspresi daripada berfikir, betul?
Marah dulu, sebelum tenang.
Memaki dulu, sebelum boleh duduk diam.
Melatah dulu, sebelum boleh tarik nafas dalam-dalam.
Maka, moh ler kita SESEKALI kan otak dan kepala untuk berfikir topik yang wajar kita fikirkan bersama-sama.
*
*
*
Pilihanraya. Hadirnya 5 tahun sekali – jumlah tahun terpaling afdal dan relevan mengikut Perlembagaan Malaysia.
Kali terakhir Malaysia adakan Pilihanrayanya (yang ke-14) adalah pada 2018. Maka, wajar kalau pilihan raya yang seterusnya diadakan pada 2023.
Tetapi menurut Agong seperti dilaporkan media, situasi politik negara yang kritikal dan meruncing waktu ini menyulitkan kehidupan kesemua rakyatnya.
Justeru, pembubaran Parlimen bagi memberi jalan kepada suara demokrasi yang berpaksikan kebenaran dan keadilan wajar mengambil tempat dengan segera.
Tup tap tup tap, datanglah harinya Penamaan Calon.
Tup tap tup tap lagi, bermulalah seterusnya segala jenis dan bentuk perang manfesto, bendera, kempen dan tidak kurang juga, ‘psikologi’ dan ‘bahasa tubuh’ bakal Pemimpin di kawasan masing-masing.
Tertariknya saya nak kongsikan di sini adalah pemerhatian si anak-anak. Pendek cerita tajuk telenovelanya begini;
“Pilihanraya ke-15: Dari Kaca Mata Anak-Anak”

Anak 1: Ibu, awak undi tak Pakatan Harapan? (selepas ternampak poster yang ini)
Ibu: Kenapa awak tanya Ibu undi ke tak Pakatan Harapan?
Anak 1: Ni, poster ni tanya!
Ibu: (Gelak kuat)
Anda tahu kenapa gelak kuat sahaja saya balas?
Terfikir sahaja; bagaimana anak-anak hari ini menafsir segala apa yang kita paparkan di jalanan.
Bila si anak baca X sebagai tidak, dan bukan pangkah (tanda undi), hmmmm ….
“Ibu, kenapa poster tak guna gambar binatang. Asyik kerusi, meja, roket. Letaklah yang comel-comel. Tak kreatifnya.”
“Kalau saya, saya pilih kerusi. Not that one (dacing). The chair is more stable.”
Ada ternampak suatu dialog juga di timeline Facebook yang berbunyi; “Kenapa ramai sangat orang hilang sekarang ni?”, tanya si kecil lepas melihatkan poster-poster yang ada.
Nak tergelak pun ada. Tersenyum sudah pasti. Tercuit dah tentu.
Kelihatannya comel, tetapi deep sungguh pemerhatian mereka.
Kita tahu tahap pemikiran anak-anak di peringkat usia berbeza itu bagaimana secara umum.
Tetapi, alangkah lebih indah dan molek kalau kita untuk tidaklah sama sekali pandang rendah dengan apa yang mereka telah kongsikan.
Bagaimana boleh penggunaan perkataan dan nahu yang betul kita gunakan untuk poster pun … aku kira-kira kita dah tak boleh ambil mudah.
Mengajar anak-anak tentang kenapa pangkah (X) dan bukan tick betul juga ada sebabnya.
Bercerita tentang simbol dan perlambangan yang Pemimpin atau Parti guna, apparently .. this visual is highly regarded by the children. Betapa aspek yang ini mampu untuk anak- anak ini tafsir dengan bijak cara mereka; samada stabil atau tidak .. samada parti ini bagus atau tidak, bukankah “mahal” pemerhatian mereka yang ini?
Itu belum sentuh soal warna.
Perkaitan dan pemilihan warna dengan gambar individu dan Pemimpin yang dicalonkan.
Al-maklum, kawasan saya kawasan hangat – 10 Penjuru. Banyak yang anak-anak perhati dengan kepelbagaian yang 10.
Mereka keliru mungkin, itu sudah pasti. Tetapi jenuh juga si Ibu buat research dan lengkapkan diri, andaikata bila-bila masa sahaja soalan jenis KBAT terpacul daripada mulut mereka.

Pilihanraya memang acara LIMA tahun sekali.
Tetapi bagaimana untuk menerapkan ilmu LIMA tahun sekali ini secara lestari kepada anak-anak; itu persoalan yang saya kerap fikirkan dan selalu tertanya-tanya diri sendiri.
Tahun silih berganti, perubahan pastinya ada. Dari hanya gabungan parti yang seminima mungkin, hari ini … pecahan menjadi pelbagai yang bekeperluan – menurut mereka yang bertanding.
Dan mengajar setiap inci keterangan tentang perjuangan yang dibawa setiap Parti yang terlibat – ini memang bahagian paling menguji!
Tetapi, perlu untuk kita tahu sebab anak-anak boleh hadir dengan kemusykilan yang 1001.
Kurang pasti sahaja bagaimana buku-buku Sejarah atau dokumen kajian hari ini dikemaskini dengan tepat dan segera seiring dengan senario politik semasa.
Dan bila mana aspek sejarah negara perlu dihebahkan di peringkat awal usia lagi, cukup-cukup sahajalah dengan pesimistik yang ada.
Anak-anak hari ini berhak tahu apapun yang mereka mahu tahu tentang situasi politik negara.
Tetapi ………..
Sejauh mana kita yang dewasa perlu bijak mengumpul maklumat, mencerna informasi, memberikan pandangan tidak berat sebelah … ini sudah tentu menjadi cerminan kepada corak pemikiran anak-anak juga.
Itu.
Kebijaksanaan yang dewasa perlu ke banyak tingkat lagi nampaknya.
Ini yang baru nampak di jalanan.
Itu belum lagi yang mereka lihat dan saksikan sendiri di laman-laman sosial media yang ada. Tak cukup Instagram, TikTok pun sama naiknya.
“Ibu, kenapa **** sokong Perikatan Nasional? Siap pakai baju nieh ha. Boleh ke diaorang showing off macam ni?
“Why **** supporting this party, Ibu? Bukan dia dulu parti lain ke?”
“Ibu, awak nak undi siapa?”
Lelah menjadi ibu bapa? Begitu beginilah nampaknya.
Soalan terakhir tu paling susah nak jawab sebenarnya, walaupun sudah sampai ke momen pecutan akhir sekarang – kurang daripada 22 jam sahaja untuk buang undi.