Oleh Nabilah Saleh
Dikhabarkan perlu membuat tugasan luar negara ke Korea Selatan baru-baru ini, penulis sama sekali tidak menyangka “rezeki” yang sememangnya dinantikan kali ini hadir di celah-celah kebuntuan dirinya mengatur diri dan kehidupan bekeluarga.
Diberitahu pula bakal mengunjungi ibu negaranya, Seoul serta Busan, salah satu bandar metropolitannya yang kini menjadi bualan bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi dunia (semuanya bermula dengan tajuk filem layar perak mereka; Train to Busan), penulis sekali lagi menyangka dirinya bagai ‘bermimpi di siang hari’ kerana kemuncak tugasan adalah menghadiri konsert kumpulan sensasi K-Pop bertaraf global, BTS.

Keterujaan yang tidak dapat disangkal tetapi bagi penulis, tugasan kali ini terlalu “peribadi” untuk dirinya berkongsi dengan umum.
“KUASA” BTS TIUP SEMANGAT
BTS yang sememangnya menjadi pujaan ramai seantero dunia, adalah fenomena industri hiburan K-Pop yang penulis sendiri mulai berjinak-jinak kenal hanya dalam tempoh kurang dari dua tahun.
Penemuan “cinta baru” penulis menggemari lagu, lirik dan aura kumpulan superstar dunia yang mula bergelar “Idol” dan debut sekitar 2013 ini, ternyata menjadi antara sebab kenapa penulis mampu mengharungi kehidupannya hari ini terutama selepas pasangan hidupnya diserang strok pada awal tahun lalu.
Diuji dengan cabaran pandemik COVID-19 yang memuncak serta penularan virus jenis Delta tanpa belum ada sebarang perlindungan vaksinasi khas waktu itu, penulis adalah antara jutaan peminat tegar BTS yang mencuba keras bangkit daripada kepayahan akibat kelesuan fizikal dan kemurungan yang bukan sedikit.
Belum ke tahap kesihatan mental yang didiagnos pakar perubatan, tetapi cabaran melalui rutin sehari-hari ternyata bukan mudah untuk penulis tempuh — terima kasih kepada penghasilan lagu dan penulisan lirik lantunan BTS yang ternyata teraputik buat diri penulis, terutama lagu mereka berjudul Permission to Dance.

Bukan sahaja penulis seorang, tetapi ramai lagi individu lain yang turut mengakui “penangan” BTS yang banyak menguar-uarkan kepentingan cintakan/utamakan diri sendiri (love yourself) ternyata luar biasa dan sangat membantu.
Justeru, tugasan yang membawa penulis ke negara kelahiran tujuh orang anak muda ini sekaligus membawa diri kepada suatu elemen yang kini mendunia; kuasa lunak (soft power) Korea Selatan yang bukan calang-calang dan sangat berpengaruh.
Berbeza dengan lanskap negara ini berbanding 70 tahun lalu, negara Asia Timur ini kini lebih berani mengatur strategi mencipta nama di persada antarabangsa memikat penduduk dunia di setiap sudut; geopolitik, ekonomi, ketenteraan, budaya, makanan, tempat tarikan pelancongan, perfileman dan drama (K-filem dan K-Drama), muzik K-Pop dan banyak lagi.
BUDAYA, SENI TRADISI “SENJATA” TARUHAN BUSAN
Di atas jemputan Kedutaan Korea Selatan di Kuala Lumpur, penulis dibawa mengenali rapat kedua-dua bandar utamanya yang dijangka sekali lagi bakal menjadi tumpuan dunia, khususnya pada 2030 kelak.
Pertaruhan negara ini memilih Busan untuk menjadi tuan rumah Ekspo Dunia pada tahun tersebut diperkatakan ramai sebagai strategi yang sangat bertepatan dengan masa dan mampu menaikkan lagi imej Korea Selatan setanding negara-negara maju dan moden yang lain.

Sesuai dengan populariti, pengaruh serta kemajuan pesat yang dicapai negara ini hari ini, tidak mustahil Busan berkemungkinan besar dapat memenangi hati juri di kalangan negara-negara anggota Biro Pameran Antarabangsa (BIE).
Ekspo Dunia yang merupakan konvesnyen berprestij anjuran BIE yang berpangkalan di Perancis ini merupakan festival antarabangsa terbesar selain Piala Dunia dan Olimpik.
Penganjuran ekspo di bahagian tenggara semenanjung Korea itu juga dianggarkan menyumbang impak ekonomi bernilai 61 trilion won (US$42.5 bilion).
Korea Selatan bersaing dengan dua negara lain — Itali dan Arab Saudi — untuk menganjurkan ekspo itu, dan pemilihan akhir dijangka diumumkan pada November 2023.
Menerusi pemerhatian penulis, setiap ceruk Seoul dan Busan dilawatinya juga kelihatan cukup harmoni dengan banyak elemen budaya mereka yang estetik kekal dan tersergam indah – sepertinya tidak pernah ditelan zaman!
Bayangkan, di tengah-tengah kota rayanya yang banyak pencakar langit rata-rata milik syarikat gergasi dan konglomerat ternama seperti Lotte, Samsung, SK Group Hyundai Motor dan Hanhwa Group, masih lagi dikekalkan keberadaan dan binaan istana-istana lama sejak dari zaman Dinasti Joseon sebagai tarikan utama pelancong.

Mengunjungi Istana Gyeongbokgung sahaja sudah cukup buat penulis terpesona dengan apa yang dirinya lihat menerusi banyak K-Drama berlatarbelakangkan masa dan tempat Korea Selatan pada zaman dahulu kala.
Menyulusuri Han River menerusi perkhidmatan Han River Cruise menjelang senja juga cukup menggamit banyak momen-momen yang semuanya bagaikan “flashback” bermain di minda penulis mengingatkan banyak babak menarik yang pernah ditonton sejak dari mulanya minat kepada K-Drama bertajuk Winter Sonata (2022) 20 tahun lalu.
KUASA LUNAK, KUASA EKONOMI
Sependapat dengan penulis, Timbalan Pengarah Eksekutif (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (UM), Dr Nurliana Kamaruddin memberitahu penulis, South Korea ternyata memanfaatkan kelebihan budaya pop (pop culture) sebaik mungkin untuk bidaan Ekspo Dunia.
Berbanding dua negara pesaingnya yang lain, negara ini membawa kelebihan kuasa lunaknya yang unik seiring dengan keupayaan sektor ekonominya menjadi hos acara dunia.
“Definitely South Korea is leveraging its pop culture status to win global hearts on the bidding. As compared to the other two contenders, do they have a pop culture that is internationally visible, so to speak?
“For the longest time, the Korean culture itself has not been as highly exposed as it is today. What put them now is the pop culture revolution that’s happening since late 2010.


“As the World Expo is important to the country in a lot of other issues and for the country wanting to win, it is not just in terms of soft power visibility but also the economic benefit as well.
“Looking at how they bid for many world events before, no doubt they will do more this time with the pop culture advantage,” she said noting South Korea’s awareness of catering to different food necessities has significantly improved and changed over time.
SEMOGA TUAH MENYEBELAHI
Berpeluang menghadiri konsert BTS buat pertama kali dan dapat bersama-sama dalam kumpulan “lautan ungu” (purple wave) malam itu, sudah tentu memberikan memori paling berharga untuk penulis kenang sampai bila-bila.


Dari sejak 11 pagi sehinggalah tepat jam 6 petang konsert bermula, segala perancangan dan aturan penganjur yang kerap mengemaskini maklumat tentang konsert menerusi aplikasi Weverse, boleh penulis sifatkan sebagai sangat berjaya dan berlangsung dengan baik.
Peminat daripada pelbagai negara, peringkat umur dan generasi juga hadir membanjiri kawasan Stadium Asiad penuh tertib tanpa sebarang masalah, di samping peragaan fesyen dan gaya peminat fanatiknya yang tidak kurang mencuri tumpuan.
Paling mengharukan penulis, satu baris kawasan tempat duduk khas juga disediakan kepada golongan kurang upaya (OKU) yang turut mahu menyertai konsert malam itu.
Dari segenap aspek penganjuran konsert percuma khas sebagai “hadiah istimewa” BTS sebagai duta perhubungan awam untuk bidaan Ekspo Dunia 2030 buat peminatnya, Busan membuktikan ia juga mampu menarik perhatian dunia menerusi profesionalisme yang ditunjukkan rakyatnya.
Bagi Bak Mi Jeong, 33, seorang penganalisis alam sekitar yang bekerja di syarikat swasta berpangkalan di Seoul, berkata suasana baik yang dikongsi sepanjang konsert malam itu sememangnya positif untuk menceritakan kepada dunia mengenai Busan.
“BTS memainkan peranan besar dalam menyebarkan berita mengenai Busan. Saya optimis jika Busan menganjurkan Ekspo Dunia pada 2030, ia akan memberi banyak manfaat ekonomi kepada negara, contohnya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang di sini,” kata anak kelahiran Busan itu kepada Bernama.
Bagi anak muda Lee Yuna dan Kim Min Gyeong pula konsert itu telah ternyata menarik perhatian dunia ke Busan.

“Ia konsert percuma dan sungguh mengejutkan, melihat bagaimana konsert itu mampu memberikan impak besar mengenai bandar Busan.
“Kami bangga melihat betapa berkesannya mesej yang mereka sampaikan melalui penganjuran konsert malam ini,” kata pelajar sekolah menengah dari Seoul itu.
Ekspo Dunia 2030 bukanlah medan penentuan sukses penganjuran acara besar oleh Korea Selatan kerana negara ini pernah pernah menganjurkan ekspo di Daejeon dan Yeosu pada tahun 1993 dan 2012.
Sejauh mana tuah berpihak kepada Busan, penulis juga berdebarkan menanti kemuncak pengumumannya tahun depan.
Semoga terus mendunia dan tuah menyebelahimu, Busan!